Thursday, March 3, 2011

Tarian Singa



\

Tarian Singa merupakan acara tradisi masyarakat yang berketurunan Cina. Tarian ini sangat terkenal di Pulau Pinang. Penari-penarinya akan memakai pakaian seragam. Namun begitu tiada bentuk atau jenis pakaian khusus. Alat terpenting dalam Tarian Singa ialah patung yang bentuknya menyerupai kepala singa. Badan patung singa ini diperbuat daripada kain daripada kepala hinggalah ke bahagian ekornya. Tubuh badan singa itu dihias dengan bulu berwarna emas. Alat muzik yang terpenting adalah berbentuk ketukan seperti gendang dan canang

Tarian Portugis





Tarian Portugis ada kaitannya dengan sejarah pemerintahan Portugis di Melaka. Terdapat dua jenis Tarian Portugis ini iaitu Tarian Branyo dan Tarian Farapeirra. Kedua-dua tarian tersebut ditarikan di majlis-majlis perkahwinan, hari-hari perayaan dan temasya keramaian. Tarian Farapeirra merupakan tarian muda mudi. Ia ditarikan secara berpasang-pasangan iaitu lelaki dan wanita. Penari-penari wanita memakai pakaian gaun labuh, blous yang berenda. Penari lelaki memakai pakaian yang dipanggil Bolero iaitu "waist-coat" berenda dan bersusun dengan motif-motif bunga. Bentuk seluarnya kelihatan ketat dan berwarna hitam, bergaris panjang ditepinya. Selain itu ia dilengkapi dengan kain "skaf" yang dipakai dileher serta memakai topi kecil di kepala. Ketika menari kadang-kadang topi digantung di bahagian belakang badan. Alat muzik ialah terdiri daripada gitar dan tamborin.

Tarian Lenggok





Tarian Lenggok ialah tarian asli orang-orang Jawa dan dibawa ke Pasir Panjang, Sitiawan. Kumpulan tarian ini terdiri daripada 6 orang penari iaitu 3 lelaki dan 3 perempuan dan 4 orang pemain rebana. Tarian ini biasanya dipersembahkan sebagai hiburan di majlis-majlis perkahwinan, harijadi Raja-Raja dan sebagainya. Cara persembahannya ialah sambil memukul rebana, pemuzik-pemuzik akan menyanyi dan penari-penari menari di atas tilam, tetapi sekarang ianya ditarikan di atas pentas. Mereka menari sambil duduk dari awal hingga akhir. Penari-penari cuma melenggok-melenggokkan badan dan tangan mengikut rentak lagu yang dibawa oleh ahli-ahli muzik. Alat muzik yang digunakan ialah rebana yang diperbuat daripada kayu halban dan kulit kambing dan diikat dengan rotan.

Tarian Mak Inang



Tarian Mak Inang merupakan tarian Melayu asli yang wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tarian ini sangat popular pada zaman tersebut. Tarian ini selalu ditarikan dihadapan Sultan dan pada majlis-majlis perkahwinan orang kenamaan. Penari-penari wanita memakai selendang. Tarian ini biasanya diiringi dengan lagu dan pantun. Alat-alat muzik yang digunakan terdiri daripada rebana, gendang dan biola.

Tarian Rodat




Tarian Rodat terkenal di Negeri Terengganu. Tarian ini pada mulanya ditarikan di istana sahaja. Dahulu tarian ini ditarikan di atas tilam dengan berdiri lutut sahaja. Tetapi ianya sekarang ditarikan di atas pentas. Para penari Rodat terdiri daripada 10 hingga 12 orang penari yang menari sambil membawa rebana. Kumpulan kedua dikenali sebagai pelenggok. Dua kumpulan ini berganti-ganti menarikan tarian ini. Alat-alat muzik yang mengiringi tarian ini terdiri daripada tiga buah gendang dan sebuah gong

Tarian Lilin






Tarian Lilin berasal dari Sumatera, Indonesia. Tarian ini kononnya dicipta berdasarkan gerak geri seorang wanita yang sedang mencari cincin pertunangannya yang hilang. Dalam Tarian Lilin ini sebatang lilin yang diletakkan di dalam pinggan akan digunakan oleh para penari dengan membuat pelbagai gerak seperti membongkok, melirik, mengadah dan sebagainya. Adakalanya penari-penari memijak piring yang diatur. Mereka memijak gelas yang ditelangkup pada piring tersebut. Cara ini biasanya ditarikan oleh penari-penari yang telah mahir.

Tarian Barongan





Tarian Barongan yang berbentuk drama tari ini popular di Selatan Semenanjung Malaysia iaitu Negeri Johor terutamanya di daerah Batu Pahat. Ia sangat terkenal di kalangan masyarakat Jawa. Menurut sejarah tarian ini menceritakan tentang kisah di zaman Nabi Sulaiman dengan binatang-binatang yang boleh bercakap. Barongan berunsur pemujaan. Tarian Barongan terbahagi kepada dua bahgian iaitu barongan dan putera raja serta pelawak dan putera raja. Penari yang memegang watak barongan akan memakai topeng harimau. Alat-alat muzik yang digunakan ialah gong, gendang dan angklong.
 
Copyright © 2010 kudang kepang | Design : Noyod.Com | Images : Red_Priest_Usada, flashouille