Thursday, March 4, 2010

Membudayakan semula seni kuda kepang




21 Disember, Sungai Mas - Tarian kuda kepang merupakan salah satu kebudayaan masyarakat Jawa yang sedikit masa lalu berkembang pesat khususnya ketika perayaan-perayaan seperti majlis perkahwinan, keraian dan sebagainya. Namun begitu seni tersebut kini hampir tenggelam berikutan peredaran masa dan kemunculan teknologi maklumat yang semakin canggih hari ini.

Menyedari hakikat itu seorang aktivis tempatan, Rabu Paimin, 55, dari Bandar Sungai Mas di sini telah menggerakkan semula tarian kuda kepang dengan menubuhkan persatuan yang dikenali Kesenian Kebudayaan Jarum Kepang Sungai Mas.

Rabu berkata, persatuan itu yang ditubuhkan sejak sembilan bulan lalu kini dianggotai oleh 39 ahli yang terdiri daripada anak-anak muda dan golongan belia di sekitar kawasan tersebut.

Menurutnya, beliau yang mewarisi seni itu dari arwah bapanya, Paimin Ahmad, ingin memperkenalkan dan memastikan seni budaya tersebut diketahui dan dihayati oleh orang ramai khususnya generasi kini.

“Bagi memebolehkan mereka mengetahui secara mendalam, kami mengadakan latihan setiap malam Sabtu dan Ahad dengan dikendalikan seorang pembantu, Salam Paiman.

“Saya tidak menduga diperingkat awal saya memperkenalkan seni ini, ia mendapat sambutan yang menggalakkan dimana ramai golongan anak-anak muda dan belia menyatakan hasrat untuk menyertai kumpulan kami,” katanya.

Jelas Rabu lagi, kumpulan itu telah mendapat perhatian apabila sering diundang mengadakan persembahan di majlis-majlis keraian termasuk majlis perkahwinan dan majlis rasmi pemimpin masyarakat.

Rabu memberitahu, lazimnya setiap persembahan mengambil masa sekitar setengah jam yang merangkumi pakej tarian kuda kepang, silat, dan pentol (watak yang memakai topeng).

“Apa yang membanggakan kami, menerusi kewujudan persatuan ini ia bukan sahaja dapat mengembangkan seni budaya malah dapat mengelakkan para belia dari gejala sosial dengan mengisi masa mereka bagi menyertai persatuan seperti ini yang mampu mengeratkan hubungan masyarakat setempat tanpa mengenal usia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

 
Copyright © 2010 kudang kepang | Design : Noyod.Com | Images : Red_Priest_Usada, flashouille